Friday, February 12, 2010

Syafaat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Bila kita sebut syafaat kita akan ingat dua perkara iaitu

Pertama; Syafaat yang bermaksud memohon pertolongan kepada Allah swt untuk kebaikan manusia pada hari akhirat. Ini disebut syafaat agung. Ini khusus kepada Nabi Muhammad saw. Syafaat ini akan dilakukan oleh Nabi kita Muhammad saw pada hari akhirat nanti ialah supaya diSEGERAkan keputusan atau ketetapan bagi seluruh makhluk agar dapat berehat daripada kesengsaraan dan kesukaran di PADANG MAHSYAR; iaitu tempat mereka berhenti dan berkumpul.

Allah swt akan mengabulkan permohonan Nabi Muhammad saw. Usaha baginda yang sangat berjaya itu dianggap besar oleh seluruh umat, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Dengan demikian ternyatalah betapa besar keutamaan Nabi Muhammad saw untuk seluruh alam ini. Inilah yang sebenarnya dimaksudkan dengan MAQAM MAHMUD (kedudukan terpuji) yang dijanjikan kepada baginda dalam surah al-Isra' ayat 79;


"Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (al-Isra' [17] : 79)


Daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda mafhumnya:


"Sesungguhnya matahari itu akan mendekat pada hari kiamat, sehingga disebabkan terlalu panas, peluh makhluk akan akan sampai ke separuh telinganya. Pada waktu berkeadaan demikian, mereka akan meminta pertolongan kepada Adam, kemudian Adam berkata; saya tidak dapat memberi apa-apa pertolongan; selanjutnya mereka meminta tolong kapada Musa. Musapun berkata sebagaimana yang dikatakan oleh Adam; seterusnya mereka meminta pertolongan kepada begitu jugalah dijawab oleh nabi Musa disuruh bertemu Nabi Isa, bila bertemu Nabi Isa as, Nabi Isa berkata pergilah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, lalu baginda memberikan syafaatnya segera diadakan keputusan antara seluruh makhluk. Nabi Muhammad saw berjalan sehingga memegang lingkaran pintu syurga. Pada masa itulah Allah mengurniakan untuknya maqam mahmud yang mendapat pujian seluruh makhluk" (H.R. Abu Daud dan Hakim)

Ada juga saya catatkan tentang syafaat Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh imam Bukhari di sini

Diriwayatkan pula daripada Ubay bin Ka'ab bahawasanya Rasulullah saw bersabda mafhumnya: Apabila telah datang hari kiamat, maka saya (Nabi Muhammad saw) adalah pemimpin daripada seluruh nabi, saya pula jurubicara mereka dan yang memegang syafaat antara mereka. Ini saya kemukakan bukanlah kerana kebanggaan (kesombongan). (H.R. Abu Daud)

Kedua pula ialah SYAFAAT selain syafaat yang dimiliki oleh Rasulullah saw:

iaitu berlaku dengan izin Allah; sebagaimana Allah berfirman;


.... Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya... (Al-Baqarah [ 2 ] : 255)


dan yang diberi syafaat itu haruslah orang yang diredhai oleh Allah swt sebagaimana Allah berfirman:


"Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan) dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan) dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya". (al-Anbiyaa' [ 21 ] : 28)

Dengan kata lain Allah mengizinkan kepada salah seorang daripada hamba-hambaNya yang salih untuk memberikan syafaat kepada orang-orang yang diperkenankan untuk diberi syafaat. Syafaat ini diberikan kepada Nabi Muhammad saw (syafaat agung), nabi-nabi lainnya, orang-orang jujur, para syuhada, dan orang-orang salih.

Yang dimaksudkan denganorang-orang diredhai Allah ialah orang-orang yang berhak menerima pengampunan Allah. Jadi kedudukan syafaat ini ialah untuk menunjukkan kekeramatan atau kemuliaan orang yang menjadi perantara pemohon syafaat yakni untuk menunjukkan betapa dekatnya (muqarrabin) orang-orang itu dengan Allah swt. Syafaat yang diberikan pula adalah sebagai pelaksanaa daripada iradah / kehendak Allah semata-mata.

Oleh itu sekalipun syafaat itu ada, seseorang itu masih wajib mensucikan hati dan jiwanya, wajib beramal salih dan tidak mempermudahkan amalan.

Kaum penyembah berhala yakin benar bahawa patung-patung yang disembah mereka akan memberi syafaat kepada mereka pada sisi Allah swt. Allah berfirman:


"Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan. (Yunus [10] : 18)
Dan Allah menjadikan mereka berputus asa untuk terus bergantung kepada berhala-berhala yang dikira boleh memberi syafaat kepada mereka. Allah berfirman;


Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya, (38) Kecuali puak Kanan, (39) (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya, (40) Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah, (41) (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? (42) Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; (43) Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; (44) Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; (45) Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, (46) Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. (47) Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (48) (Al-Mudaththir [74] : 38 hingga 48).

Ramai juga orang membiasakan diri bersandar kepada syafaat orang-orang salih atau orang-orang yang berkelakuan seolah-olah dialah orang salih. Ini menyeleweng daripada tuntutan agama. Allah berfirman:


(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu dan dia pula tidak akan mendapat selain dari Allah seorang pun yang akan melindunginya dan tidak ada juga yang dapat menolongnya. (123) Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (124) Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya. (An-Nisaa' [4] : 123 - 125)

Dan Nabi Muhammad saw telah berpesan (berwasiat) kepada puteri kesayangannya Fatimah az-Zahrah; "Berusahalah engkau dengan dirimu sendiri wahai Fatimah! sebab saya sendiripun tidak dapat memberi kemanfaatan sedikitpun kepadamu daripada siksaan Allah"

Seseorang itu tidak boleh memikul dosa perbuatan orang lain; begitulah sunnatullah sejak dhulu hinggalah umat Nabi Muhammad saw. Allah berfirman;


"Atau belumkah dia diberitahu akan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab Nabi Musa; (36) Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)? (37) (Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); (38) Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; (39) Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); (40) Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna"; (An-Najm [ 53 ] : 36 hingga 41)
Mudah-mudahan memberi manfaat.

No comments: