Assalamu'alaikum.
Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.
Hari ini ditulis gambaran yang berlaku pada hari akhirat yang tercatat dalam surah az-Zukhruf yakni surah ke 43 dalam al-Quran al-Karim ayat 36 hinnga 39.
"Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (37) Sehingga apabila dia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah dia (kepada Syaitannya): Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman. (38) (Lalu dikatakan kepada mereka): Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab". (39)
Sesiapa yang tidak mempedulikan ajaran-ajaran al-Quran yakni ajaran Allah yang Maha Pengasih adalah laksana orang yang rabun matanya. Sebenarnya dia tidaklah rabun, tetapi dia cuai dan berpura-pura tidak nampak akan pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran. Oleh itu orang-orang seumpama ini yakni orang-orang yang memalingkan diri daripada menerima kebenaran; dia akan dikelilingi oleh syaitan yang terdiri daripada syaitan jin dan syaitan manusia. Syaitan-syaitan ini akan menjadi sahabat kepada orang-orang seperti ini yang membutakan hati daripada mengikut kebenaran ajaran Allah melalui RasulNya. Syaitan-syaitan ini pula digesa supaya mengganggu dan menghasut mereka. Lihat ayat 83 surah Maryam:
"Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan (menghasut) mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?"- (Maryam [ 19 ] : 83)
Ibarat seseorang yang berkudis dan bernanah dihurungi lalat dan langau, kerana sememangnya lalat dan langau ini suka kepada kotoran. Jadi samalah dengan orang-orang yang tidak mahu menerima petunjuk al-Quran, mereka akan dikerumuni oleh syaitan. Syaitan memang suka menghalangi orang-orang yang kufur itu daripada mengikuti jalan Allah. Jalan Allah adalah jalan yang benar sedangkan orang-orang kufur menyangka jalan syaitan itu adalah jalan yang benar kerana mereka disesatkan dan tersesat disebabkan mereka sendiri membutakan hati mereka.
Akhirnya kekufuran dan kesesatan mereka berlanjutan hinggalah tiba hari akhirat. Mereka ini didatangkan menemui Allah dalam satu ikatan. Pada ketika itu berkatalah si kafir kepada syaitan yang menemaninya : Aduhai! jika boleh biarlah syaitan yang jahat ini dijauhkan daripada aku jaraknya seperti timur dan barat. Engkaulah teman yang paling jahat kerana engkaulah yang menyebabkan aku celaka pada hari ini. Engkau menampakkan segala yang buruk dan palsu itu menjadi indah belaka. Lalu mereka diberitahu bahawa pada ketika itu rayuan mereka tidak berguna lagi. Syaitan yang menjadi teman mereka dahulupun tidak dapat menolong; dan mereka dimasukkan ke dalam neraka dan menanggung azab masing-masing kerana tidak ada sesiapa yang menanggung akibat dosa orang lain.
2 comments:
Salam semoga anda sentiasa dirahmati dan di berkati oleh yang Maha Esa...
Teruskan Usaha Anda...
salam, semoga anda juga dirahmati Allah.. terima kasih atas doa.
Post a Comment