Monday, January 10, 2011

Penghinaan Pada Hari Kiamat


Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya. 


Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.  

Allah berfirman:
A093
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". (Al-An'aam 6:93)

Ayat di atas menggambarkan betapa perit serta azabnya golongan yang mendustakan agama. Allah memberikan rasa sakit tidak terperi tatkala diambang maut ( 'sakaratulmaut' ). Allah memberikan rasa peritnya mati manakala malaikat pula mengejek mereka dengan azab yang dirasakan  pada hari kiamat dengan api yang mebakar. Paling azab dan besar bahananya ialah kemurkaan Allah SWT terhadap perbuatan mereka yang melakukan pembohongan semasa berada di dunia.

Apa yang berlaku ketika mereka diambang maut ialah roh mereka sendiri bertempiaran lari dalam jasad mereka kerana takut untuk keluar menghadapi kenyataan hidup selepas mati yang amat dahsyat.

Bagaimanpun malaikat memukul-mukul sehingga roh mereka keluar daripada jasad sambil berkata ; "Keluarkanlah nyawa kamu (daripada tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab siksa yang sehina-hinanya, disebabkan apa yang kamu katakan terhadap Allah SWT. Pada hari ini berdukacitalah kamu dengan siksaan Allah yang akan menimpa kamu disebabkan pembohongan kamu terhadap Allah seperti mendakwa Allah mempunyai anak dan sebagainya. Kamu juga mendakwa bahawa hukum Allah SWT tidak sesuai lagi pada zaman sekarang dan seumpamanya. Kamu tidak mahu menerima atau melaksanakan hukum-hukum Allah yang ternyata dalam al-Quran kerana bertentangan dengan hawa nafsu kamu. Kamu juga ingkar dan takbur, lalu menentang perintah Allah tanpa rasa bersalah. Maka pada hari ini rasakanlah permulaan azab serta permulaan penghinaan buat kamu. Kelak azab dan penghinaan yang lebih akan menimpa kamu apabila kamu dihimpunkan pada hari kiamat".
A094
Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat). (Al-An'aam 6:94)

Kelak kamu akan tetap datang menemui Allah dalam keadaan kamu bersendirian tanpa ditemani orang-orang yang rapat mahupun orang-orang yang dikasihi. Tidak ada lagi pangkat (kemuliaan), harta benda yang kamu kumpulkan untuk dibawa bersama. Tidak ada kekuasaan yang mengikut kamu, semuanya ditinggalkan dan kamu bersendirian malah tanpa seurat benang pun yang kamu pakai ketika menunggu di padang Mahsyar kelak. Kamu tinggalkan di belakang kamu harta benda, anak pinak adan apa sahaja nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu di dunia dahulu. Semuanya tidak bersama kamu lagi. Semuanya tidak berfaedah lagi buat kamu melainkan jika kamu datang menemui Allah dengan membawa hati yang sejahtera

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadi sahih yang bermaksud : "Ada di kalangan anak Adam berkata, "Hartaku hartaku". (Mereka menyebukkan diri dengan mengumpulkan harta sehingga lupa untuk mengabdikan diri kepada Allah). Adakah kamu memiliki semua itu sedangkan kamu tidak memiliki harta itu melainkan apa yang kamu makan adan apa yang menjadi najis, apa yang dipakai sehingga menjadi buruk, apa yang kamu sedekahkan atau zakatkannya dan apa yang kamu gunakan. Selain daripada itu dia akan pergi daripada kamu dan manusia akan tinggalkannya."

Itulah hakikat harta benda dunia yang menakjubkan sesetengah manusia sehingga lupa hakikat sebanarnya harta itu milik Allah dan akan dibinasakan apabila tiba masanya.

Ingatlah bahawa:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Sumber dengan sedikit edit : Tafsir Surah al-An'am ayat 93 dan 94 oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi 

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam Kak Werdah,

Menghayati N3 terasa takut. Suami dan anak-anak juga pinjaman buat kita semata-mata. Sentiasa berdoa semoga diberi pinjaman selagi terdaya.

Werdah said...

Wassalam kakzakie

Memang perlu ditanamkan rasa takut tu.. mudah2an kita sentiasa sedar akan milik dan kepemilikan Allah.. kita tak punya apa-apa...

Ya, mudah2an kita dapat gunakan pinjaman Allah itu sebagai sarana mendapat redhaNYa.. amiin