Monday, December 21, 2009

Suasana Alam akhirat (38) - Surah Ghafir/Al-Mu'min ( Pengampun/Orang2 Beriman)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Ghafir iaitu surah ke 40 dalam al-Quran Al-Karim.

"Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya". (18)

Allah menyuruh rasulNya, supaya memberikan peringatan kepada kaumnya yang syirik; bahawa akan ada hari kiamat yang amat hebat dan amat menakutkan. Pada hari itu jantung setiap orang akan berdebar-debar lalu sesak nafas hingga ke tenggorok/kerongkong, nafas tidak dapat dihela keluar ataupun masuk; masing-masing tercungap-cungap disebabkan takut serta sedih yang amat sangat. Juga rasulNya diminta mengingatkan bahawa sesiapa yang melakukan kenzaliman atau penginayaan, mereka itu tidak akan dapat pertolongan daripada sesiapaun walaupun daripada sahabat yang paling karib dan setia. bahkan dia akan terputus daripada mendapat sebarang syafaat.

Dan wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan), (32)

Allah juga menyuruh rasulNya mengingatkan bahawa azab hari kiamat adalah amat dahsyat. Pada hari itu akan panggil-memanggil di kalangan manusia. Semuanya memanggil untuk mendapatkan pertolongan disebabkan terlalu dahsyat kesengsaraan dan kegemparan hari kiamat tersebut. Hal ini juga disebut dalam surah al-A'raf [ 7 ] :44 dan ayat 50

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli Neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?. Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim. (Al-A'raf : 44)
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli Neraka dengan firmanNya): Ahli Neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu. Mereka (ahli Syurga) menjawab: Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir. (Al-A'raf : 50)

(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab Allah dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya. (33)

Hari kiamat juga adalah hari kamu akan lari berpaling ke belakang kerana ketakutan apabila mendengar suara api neraka yang menjerit-jerit meminta mangsanya. Tetapi kamu tidak berdaya untuk menyelamatkan diri, kerana tiada sesiapapun yang dapat mengelakkannya.

Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam Neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab Neraka ini? (47)

Allah juga menyuruh rasulNya mengingatkan kaumnya tentang berlakunya pertengkaran dan perbantahan di kalangan penduduk neraka. Iaitu golongan orang-orang yang lemah yang menjadi pengikut akan membuat bantahan kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sombong dan membesarkan diri dengan berkata; Sesungguhnya kami menjadi pengikut-pengikut kamu, kami menurut dan patuh akan ajakan kamu untuk melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kami tersesat dan kufur. Kamu berbangga kerana dapat memujuk kami dan kami menderita di dalam neraka. Adakah kamu dapat melepaskan kami daripada siksaan api neraka?

Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam Neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya (48)

Jawapan para pemimpin yang sombong lantaran menolak ajara rasul semasa berada di dunia dahulu; Sesungguhnya kita semua sama-sama berada di dalam neraka, apalah daya kami untuk menolong kamu semua. Sesungguhnya Allah lah yang menghukum di kalngan hamba-hambaNya. Tidak seorangpun dapat melepaskan diri, kerana kita semuanya kufur terhadap Allah maka layaklah kita dihukum.

Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam Neraka kepada malaikat-malaikat penjaga Neraka Jahanam: Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari. (49) Malaikat penjaga Neraka menjawab: Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)? Mereka menjawab: Ya, telah datang. Malaikat itu berkata: Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja. (50)

Disebabkan pengikut2 yang lemah itu kecewa untk mendapatkan pertolongan daripada pemimpin mereka; lalu mereka memohon mendapatkan pertolongan daripada malaikat-malaikat penjaga neraka dengan berkata; "Pohonkanlah kepada Tuhanmu yang Maha Agung supaya DIA memberikan keringanan siksa api neraka kepada kami walaupun sehari" Tanya pengawal neraka pula kepada mereka; "Belum datang lagikah rasul-rasul memberi keterangan kepada kamu berupa dalil-dalil keesaan Allah swt agar kamu beriman denganNya yang dapat melepaskan kamu daripada siksaan api neraka iaitu dengan memberi petunjuk agar kamu tidak mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu?" Orang-oran itu menjawab; "Bahkan! rasul itu sudah datang namun kami telah mendustakannya. Kami tidak beriman dengannya dan dengan keterangan-keterangan yang jelas yang dibawanya".

Pada ketika itu para malaikat penjaga neraka menempelak mereka dengan berkata; "Jika begitu lebih baik kamu sendiri yang berdoa memohon kepada Tuhan supaya siksaan kepada kamu diringankan. Kami tidak sudi memohon bagi pihak kamu kerana kamu adalah orang-orang yang kufur yang mendustakan rasulNya. Ingatlah bahawa doa dan permohonan kamu sekarang tidak berguna lagi. Doa kamu hanya akan menyebabkan kamu berdukacita.

Dalam hubungan ini at-Tirmizi dan lainnya telah meriwayatkan daripada Abu Darda' yang mengatakan bahawa penduduk neraka akan merasakan kelaparan beberapa lama sehingga jika ditimbang sama beratnya dengan siksaan yang dikenakan kepada mereka, lalu mereka meraung meminta pertolongan supaya diberi makan, lalu mereka diberi makan daripada jenis kayu berduri yang tidak menyuburkan badan dan tidak menghilangkan lapar. Mereka makan sedikit tetapi tidak mendatangkan faedah kepada mereka lalu mereka meraung lagi meminta makanan lalu diberi lagi makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Ketika sedang tercekik itu mereka minta pula air; lalu diberikan air daripada Hamim yang sangat panas. Apabila air itu didekatkan ke muka terbakar muka mereka; dan apabila masuk ke dalam perut terputus-putuslah tali perut. Lalu menjerit-jeritlah mereka memohon pertolongan.

Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat) (51) (Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim dalihan-dalihan mereka untuk melepaskan diri dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal. (52)

Allah akan membela rasul-rasulNya serta orang2 yang beriman sama ada dengan mengangkat mereka ke mercu yang paling tinggi sehingga mengatasi seluruh penduduk alam seperti Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as dan seperti Nabi Muhammad saw dengan memperlihatkan keungguln mereka. Ataupun dengan menimpakan siksaan ke atas umat yang mendustakan kerasulan mereka iaitu berupa bencana semasa di dunia seperti kaum Nabu Nuh as yang dikaramkan, Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah. Di samping itu para rasul dan pengikut-pengikutnya yang beriman akan Allah tolong pada hari kiamat. Para saksi akan tampil ke muka pengadilan semasa perbicaraan untuk mendapatkan balasan daripada setiapa amalan semasa berada di dunia. Pada hari itu tidak berguna lagi usaha untuk mendapatkan pertolongan untuk membebaskan diri daripada siksaan yang amat pedih. Tidak guna untuk memohon ampun; kerana orang-orang yang zalim akan dilaknat dan akan ditempatkan ke dalam neraka Jahannam dan mereka mendapat balasan yang seburuk2nya.

Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak. (70) Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret (71) Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api Neraka; (72)

Mereka yang mendapat siksaan yang amat pedih itu ialah orang2 yang mendustakan kitab suci al-Quranul Karim serta ajaran2 yang disampaikan oleh para rasul. Nanti mereka akan tahu betapa berat hukuman ke atas mereka. Ketika itu leher mereka akan dibelenggu dengan pasung dan rantai; kemudian mereka akan diseret ke dalam air panas yang menggelegak. setelah itu mereka dibakar pula dalam api neraka yang bernyala-nyala sehingga menggelupas kulit dan isinya.


Akhirnya dikatakan kepada mereka: Mana dia berhala-berhala yang kamu dahulu sekutukan; (73) (Dengan menyembahnya atau memujanya) selain Allah? Mereka menjawab: Benda-benda itu telah hilang lenyap dari kami, bahkan yang sebenarnya kami dahulu tidak pernah sekutukan sesuatu pun (dengan Allah). (Sebagaimana Allah menjadikan mereka sesat), demikian pula Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar (menentang maksud ayat-ayatNya). (74)

Kemudian terdengar suara yang mencaci perbuatan mereka yang menyekutukan allah; "Mana perginya berhala-berhala, patung2 yang dengannya kamu memohon pertolongan dahulu? yang kamu sekutu dengannya semasa kamu beribadat dahulu? Minta tolonglah kepada mereka agar dapat menyelamatkan kamu!" Merekapun menjawab; "semuanya telah tiada; telah hilang lenyap daripada kami dan meninggalkan kami dalam kesengsaraan." kemudian mereka menafikan kononnya mereka sebenarnya tidak pernah menyekutukan Allah, tidak pernah menyembah selain Allah. Kesimpulannya orang2 yang menyekutukan allah di akhirat kelak akan mengaku bahawa mereka berbuat salah kerana mereka keliru.


(Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan) dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa (dalam maksiat). (75) Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam kekallah kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah Neraka Jahanam. (76)

Kemudian Allah swt menerangkan kepada mereka sebab2 mereka disiksa dengan siksaan yang amat pedih. Sebabnya ialah meraka telah bersukaria semasa berada di dunia dahulu. Mereka melakukan perbuatan syirik dan maksiat. Mereka sangka itu adalah perbuatan yang mengagumkan. Mereka juga tenggelam dalam kemewahan dan kelazatan hidup yang memperdayakan. Lalu dikatakan kepada mereka; "Tinggallah kamu di dalam neraka. Itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan bagi orang-orang yang menyombongkan diri, tidak mahu beriman. Di sanalah tempat tinggal mereka yang kekal".

2 comments:

anak laut said...

salam...

puan, entri yg sangat berguna, moga Allah swt memberi ganjaran pahala pada puan..amin.

Werdah said...

Salam anak laut,

Alhamdulillah, terima kasih.. Allahummma amiin.