Monday, February 8, 2010

Memohon Terlepas Azab Neraka


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Diriwayatkan bahawa pada suatu malam Nabi Muhammad saw ketika solat baginda menangis dan kerana begitu banyak air mata baginda keluar, janggut bagindapun basah, bahkan lantai tempat sujudpun basah. Seusai solat Nabipun berbaring, baginda masih tetap menangis sehingga menjelang solat Subuh. Pada ketika itu Bilal melihat Nabi masih menangis, lalu Bilal berkata:

"Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Rasulullah! padahal Allah telah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian?"

Jawab Nabi; "Wahai Bilal! yang menyebabkan aku menangis malam tadi ialah kerana aku mendapat wahyu:

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٠

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;" (Ali Imran [3] : 190)

Lalu kata baginda lagi; "Celakalah orang-orang yang membaca ayat tersebut tetapi tidak merenungkannya ".

Apabila seseorang itu merenung dan berfikir tentang kejadian alam semesta ini, atau berfikir tentang kejadian diri sendiri; pasti timbul perasaan kagum terhadap Penciptanya. Perasaan kagum ini akan timbul dalam hati dan terungkap dengan lidah secara lembut dan terus mengucapkan doa di bawah; yang mengadungi ucapan-ucapan dan harapan supaya Allah memberikan KEKUATAN IMAN, diBEBASKAN daripada sebarang kesalahan, diAMPUNKAN segala dosa dan memperkenankan segala permohonan lain yang biasa diungkapkan dalam doa.

Alangkah baiknya jika doa di bawah kita hafal ataupun sekurang-kurangnya kita baca, kemudian kita fahami maknanya, insyaAllah akan terlihat kesan atau pengaruh terhadap jiwa kita.

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا
خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١) رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدۡخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدۡ أَخۡزَيۡتَهُ ۥ‌ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٍ۬ (١٩٢) رَّبَّنَآ إِنَّنَا سَمِعۡنَا مُنَادِيً۬ا يُنَادِى لِلۡإِيمَـٰنِ أَنۡ ءَامِنُواْ بِرَبِّكُمۡ فَـَٔامَنَّا‌ۚ رَبَّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَڪَفِّرۡ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلۡأَبۡرَارِ (١٩٣) رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخۡزِنَا يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۗ إِنَّكَ لَا تُخۡلِفُ ٱلۡمِيعَادَ (١٩٤

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Ali Imran [3] : 191 hingga 194).

Di bawah ini ayat yang meminta kita memikirkan tanda-tanda keesaan Allah dan kekuasaanNYA.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan daripada langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran". (al-Baqarah [2] : 164)

Huraian tentang ayat 164 al-Baqarah ini boleh klik SINI

2 comments:

deena farhana said...

salam..

entri yg byk manfaat.

thanks for sharing..

Werdah said...

wa'alaikumussalam..

insyaAllah.. mudah2an bermanfaat.

terima kasih