Assalamu'alaikum,
Bismillahirrahmaanirrahim.
Al-Quran beri petanda sebagai peringatan agar manusia percaya kepada hari akhirat serta pembalasan.
Salah satu daripada Rukun Iman ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Baginda SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril AS mengenai iman yang bermaksud: "Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk." (Hadis riwayat Muslim)
Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran, beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam Kitab-Nya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.
Sesungguhnya dalam kitabNya, Allah SWT berulang kali menyebut tentang hari kiamat , menjelaskannya suasana di akhirat di banyak tempat sehingga 80 dp 114 surah2 dalam al-Quran menerangkan tentangnya. Allah sering memperingatkan kita kepada hari akhirat dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya, bahkan mengaitkan keimanan kepadaNya dengan hari kiamat. Allah merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hambaNya, tetapi memberikan tanda2 kejadian itu.
Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau besar (alamat al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.
Para ulama banyak membincangkan tentang tanda kecil hari akhirat yang mempunyai landasan dalil syara' muktamad antaranya: "Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandai dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia.
Tandanya kiamat lain ialah munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah.
Gempa ialah kejadian yang luar biasa dahsyatnya. Bayangkan ketika anda dalam ketenangan, ketenteraman dan kedamaian hidup tiba-tiba bumi yang anda pijak bergetar, goyang dan hancur memporak-perandakan segala di sekitar anda. Betapa menderitanya jika anda ditakdirkan terus hidup.
Dalam menggambarkan kejadian hari kiamat, Allah menggunakan contoh gempa bumi dalam kitab suciNya kerana ia menunjukkan sesuatu yang sangat dahsyat dan kehebatan kekuasaanNya. Jika gempa bumi yang sebegitupun dirasakan amat dahsyat betapa pula bila berlaku goncangan hari kiamat yang sebenar, tentu lagi amat dahsyat.
Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 1 dan 2
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١) يَوۡمَ تَرَوۡنَهَا تَذۡهَلُ ڪُلُّ مُرۡضِعَةٍ عَمَّآ أَرۡضَعَتۡ وَتَضَعُ ڪُلُّ ذَاتِ حَمۡلٍ حَمۡلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ۬ (٢
Maksudnya: "Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu sesuatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa yang mengerikan) itu, setiap ibu melupakan anak yang disusukannya, dan perempuan mengandung gugurkan anaknya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, pada hal mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan."
Ayat di atas adalah sebagai peringatan kepada semua umat manusia agar tidak mempermudahkan arahan Allah dan RasulNya. Jika pada zaman nabi dan rasul dulu, Allah terus sahaja membinasakan sesiapa sahaja yang mendustakan atau menderhaka kepada perintah Allah dengan kejadian mengerikan seperti hujan batu, gempa dan ditelan bumi dan pelbagai perkara lagi kenapa pula Allah tidak boleh memberi peringatan pada saat2 sekarang. Tidak dinafikan bahawa semua bencana alam, gempa bumi, tsunami ada kaitan dengan hukum alam semula jadi apabila Allah menjadikan kawasan tertentu sebagai pusat gempa seperti persekitaran api akan merasakan kepanasan api dan persekitaran ais akan merasakan kesejukan. Kita hendaklah berfikir bukan setakat hukum alam sahaja tetapi lebih daripada itu. Kita kena percaya kepada perkara ghaib serta qadar dan qadha Allah ini semunya terjadi atas kehendak Allah yang Maha Mencipta dan Memelihara alam. Walau bagaimanapun hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bukankah Allah yang mencipta semuanya dan Dialah Yang Maha Berkuasa?.
Dalam surah al-Ankabut Allah berfirman:
فَكُلاًّ أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِ حَاصِبً۬ا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّيۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا ڪَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَـٰكِن ڪَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ (٤٠
Maksudnya: "Masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." (Surah al-'Ankabut: 40)
Gempa bumi yang dalam bahasa Arabnya zilzal mempunyai konotasi mengerikan dan mendukacitakan. Disebabkan dahsyatnya gempa itulah, Allah menamakan salah satu surah al-Quran yang berjumlah 114 dengan Surah al-Zalzalah (Gegaran). Surah ini menerangkan suasana hari kiamat.
إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا(١ Maksunya: "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya," (1)
Imam al-Suyuti dalam Asrar Tartib al-Quran (Rahsia Urutan Surah al-Quran) berkata: "Aku berpendapat: "Apabila pada akhir surah Lam yakun (al-Bayyinah) disebutkan balasan orang kafir ialah neraka dan ganjaran orang mukmin adalah syurga seolah-olah ditanyakan bila ia berlaku? Maka jawapannya ialah 'apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya' yakni ketika berlaku gempa bumi."
Sambungan surah ini ialah:
وَأَخۡرَجَتِ ٱلۡأَرۡضُ أَثۡقَالَهَا (٢) وَقَالَ ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا لَهَا (٣
Maksudnya: "Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" (Ayat 2-3)
Selain dua yang disebutkan di atas, kata 'zilzal' disebut dua kali lagi:
1. Dalam al-Baqarah ayat 214
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡہُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬ (٢١٤
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (214)
2. Dalam surah al-Ahzab ayat 11 dengan pengertian gegaran jiwa bukan gegaran fizikal.
هُنَالِكَ ٱبۡتُلِىَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالاً۬ شَدِيدً۬ا (١١Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11)
Orang beriman ketika mendengar dan melihat tanda kebesaran Allah termasuk tanda kecil hari kiamat termasuk kejadian gempa akan bertambah iman mereka.
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)
"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan jualah mereka berserah." (Surah al-Anfal: 2).
Mudah2an kita sentiasa takut akan azab Allah dan sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan berusaha bersungguh2 menurut apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Semoga kita dihindari azab di dunia dan juga azab di akhirat.
2 comments:
Let's be prepared...for any risk....
Ya pelangi anak, semoga kita sentiasa berusaha mengelakkan diri kita dp segala kesusahan baik di dunia mahupun di akhirat... amiin
Post a Comment