Monday, July 27, 2009

Suasana Alam Akhirat (11) - Surah Al-Qari'ah (Hari Yang Menggemparkan)



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Al-Qari'ah iaitu surah ke 101 dalam al-Quran Al-Karim.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 


ٱلۡقَارِعَةُ (١)

مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٢)
وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٣)
 يَوۡمَ يَكُونُ ٱلنَّاسُ ڪَٱلۡفَرَاشِ ٱلۡمَبۡثُوثِ (٤)
وَتَكُونُ ٱلۡجِبَالُ ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوشِ (٥)
فَأَمَّا مَن ثَقُلَتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٦)
فَهُوَ فِى عِيشَةٍ۬ رَّاضِيَةٍ۬ (٧)
وَأَمَّا مَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٨)
فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ۬ (٩)
وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا هِيَهۡ (١٠)
نَارٌ حَامِيَةُۢ (١١)

Hari yang menggemparkan, (1)

Apa dia hari yang menggemparkan itu? (2)

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (3)

(Hari itu ialah: Hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, (4)

Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. (5)

Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya; (6)

Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. (7)

Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya; (8)

Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" (9)

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (10)

(Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. (11)

Dalam surah ini Allah menggambarkan suasana berlakunya gegaran dan goncangan yang sangat hebat. Allah bertanya tahukah kita semua akan kedahsyatan hari yang bergegar dan bergoncang kuat itu?

Apabila berlaku gegaran atau goncangan yang amat hebat dan kuat itu bayangkanlah manusia akan hancur berterbangan seumpama kelkatu yang berterbangan di udara..

Bayangkanlah pula yang beterbangan itu bukan hanya seorang manusia.. bahkan bukan juga terdiri daripada manusia yang hancur..

Malahan gunung-gunung yang terdapat di bumi ini juga akan hancur dan berserakan menjadi debu berterbangan dilempar sejauh-jauhnya akibat gegaran dan goncangan itu.

Begitulah hebatnya gambaran dalam ayat 1 hingga 5 itu..

Allah seterusnya menyatakan ada lagi yang lebih penting yang akan berlaku selepas itu.. iaitu peristiwa menimbang segala amalan iaitu acara penghisaban.. apabila amalan kebajikannya lebih, orang itu akan berada dalam kehidupan yang senang lenang selama-lamanya.. manakala bagi orang-orang yang amal kejahatannya lebih berat akan Nerakalah yang menungu di hadapannya.

Sayugia diingatkan bahawa Allah menggambarkan keadaan yang akan berlaku di akhirat nanti adalah untuk menunjukkan rahmat kasih sayangNya kepada umat di dunia..

Al-Quran adalah petunjuk agar menjadi ingatan kepada kita semasa berada di dunia ini dan supaya kita dapat bersiap sedia dengan amalan yang membawa ke syurga.. kerana Allah tidak suka kita semua menempah jalan ke neraka.

Mengingati hari akhirat memberi kesedaran dan keinsafan bahawa penghujung jalan terbentang suatu lagi perjalanan yang masih panjang. Ke manakah kita?

No comments: