Monday, July 27, 2009

Suasana Alam Akhirat (12) - Surah Al-Qiyaamah (Hari Kiamat)


Bismillahirrahmaanirahiim

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Surah Al-Qiyamah ayat 1 hingga 25

Aku bersumpah dengan hari kiamat; (1) 

Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)! (2) 

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) 

Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). (4) 

(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat). (5) 

Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu? (6) 

Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi bingung (kerana gerun/ takut), (7) 

Dan bulan hilang cahayanya, (8) 

Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (9) 

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (10) 

Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11) 

Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. (12) 

Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. (13) 

Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, (14) 

Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (15) 

Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) 

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17) 

Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18) 

Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19) 

Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. (20) 

Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). (21) 

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; (22) 

Melihat kepada Tuhannya. (23) 

Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh, (24) 

Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. (25)

Dalam surah ini Allah mulakan dengan bersumpah dengan hari Kiamat dan nafsu lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!

Sumpah ini memberi penegasan tentang balasan dan manusia berhak mendapatkannya.

Tiga persoalan yang disebutkan ini menetapkan supaya manusia mempercayainya. 

Sebaliknya dalam ayat (6) manusia yang tidak beriman bertanya secara mengejek “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”

Mereka yang bertanya ini adalah orang-orang yang sombong, bongkak kerana mempertikaikan hari kiamat.

Allah seterusnya menggambarkan bahawa Hari kiamat akan datang apabila pemandangan menjadi bingung (kerana gerun/ takut), (7)

Jiwa menjadi takut kerana pandangan cepat berubah sekejap seperti ada kilat memancar dan sekejap hilang sinar menjadi gelap.


Dan bulan hilang cahayanya, (8) Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (9) (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (10) Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11) Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. (12) Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. (13) Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, (14) Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).(15)


Ada antara para mufassir menyatakan bahawa bahasa al-Quran ini sangat indah hinggakan kekuatannya menggambarkan betapa hebatnya hari kiamat yang amat menakutkan. Bulan dan matahari akan muncul serentak umpama gerhana bulan dan matahari. Ke manakah akan melarikan diri? Tiada tempat untuk orang-orang yang tidak beriman melarikan diri. Itulah terminal akhir. Inilah Allah gambarkan untuk diambil perhatian oleh manusia semasa berada di dunia.

Allah menggambarkan nanti pada hari kiamat orang yang tidak beriman dengan hari akhirat akan bertanya ke manakah akan melarikan diri. Lalu Allah menempelak bahawa tidak ada tempat perlindungan bagi mereka.

Segala ketetapan hanya pada Allah sedangkan di dunia Allah memberi pilihan. Kemudian pada hari itu mereka diberitahu apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dan apa yang mereka tinggalkan. Mulut mereka diikat sedangkan anggota lain menjadi saksi atas segala perlakuan jahat mereka.

Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17) Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18) Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19) Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. (20) Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). (21) Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; (22) Melihat kepada Tuhannya. (23) Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh, (24) Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. (25)

Kitab suci Al-Quran al-Karim diturunkan Allah kepada RasulNya Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyedarkan manusia tentang betapa benar adanya hari akhirat dan hari pembalasan. Namun mereka lalai.  Mereka tidak ingat akan kesudahan pada hari akhirat. Mereka cintakan dunia lebih daripada akhirat. Mereka cintakan harta dunia lalu lupa mempersiapkan bekalan untuk hari akhirat.

Lalu pada hari itu muka orang-orang yang beriman berseri-seri melihat kepada wajah Allah. 

Sebaliknya muka orang-orang kafir muram dan hodoh.. Ketika itu baru mereka percaya akan adanya mala petaka berupa balasan yang amat azab.



No comments: