سُوۡرَةُ الهُمَزة
Al-Humazah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat lagi pencela, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah". (4) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)
Allah menegaskan bahawa celaka bagi golongan yang suka mengumpat, mengeji dan mencela serta mengaibkan orang lain.. walaupun semasa mula2 ayat ini diturunkan, ditujukan kepada tokoh2 Quraisy yang memusuhi Nabi Muhammad Saw serta para sahabat namun surah ini ditujukan kepada semua manusia.. bagi pengumpat atau pencela ini tidak ada manusia yang baik dipandang mata mereka.. sifat ini sebenarnya datang daripada hati yang kotor iaitu sombong.. merasakan dirinya lebih baik.. sombong inilah yang menyebabkan mereka akan dihumban ke dalam al-Hutamah.. tidak ketinggalan orang2 yang mengumpulkan harta kekayaan sebanyak2nya dan mana2 kekayaan yang telah diperolehi dihitung berulang2 kali.. sangka mereka harta itu boleh mengekalkan kehidupan mereka di dunia.. kerja mengumpul dan menghitung2 harta ini dilakukan kerana tamak.. mereka takut untuk memanfaatkan harta bagi amal kebjikan seperti membina rumah2 kebajikan untuk anak2 yatim, mendirikan sekolah, masjid dan sebagainya.. kekayaannya hanya digunakan untuk kepentingan peribadi malah sanggup menggunakan kekayaan itu untuk kerja2 mungkar..
Allah menggambarkan bahawa Al-Hutamah itu ialah api yang dinyalakan.. api yang besar itu menjulang ke hati dua golongan ini.. dan kesan api neraka itu hakikatnya tidak dapat dibayangkan.. namun yang jelas api itu akan menghancur leburkan segala tulang dan daging dan kesakitannya dirasakan menusuk ke hati.. menghiris-hiris.. dan api itu akan sentiasa menyala-nyala menutupi badan2 mereka.. meratah2 tubuh badan mereka.. seperti dalam surah lepas ada dinyatakan mereka tidak hidup dan tidak pula mati.. mereka tidak mati dan hidup mereka penuh kesiksaan.. mereka itu pula diikat dengan rantai dan pasung..
Semoga kita berusaha bersungguh2 membentengi diri kita daripada api neraka.. semoga Allah memelihara kita daripada kemurkaanNya dan menyelamtkan kita daripada api neraka yang menutup mangsanya rapat-rapat dengan kurniaNya dan kenurahanNya.. Amiin
Balasan bagi pengumpat
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Surah al-Humazah mengandungi sembilan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Qiyamah. Walaupun begitu, ada pendapat menyatakan bahawa surah ini diturunkan di Madinah, justeru dinamakan Madaniyyah.
Hubungan al-Humazah dengan surah al-Asr
Dalam surah al-Asr disebutkan bahawa semua manusia bergelumang dalam kesesatan kecuali orang yang dilindungi Allah SWT kemudian dalam surah ini Dia menyebut sifat-sifat orang yang sesat itu.
Ata' dan al-Kalbi mengatakan surah ini diturunkan berkenaan al-Akhnas Ibn Shariq yang selalu mengumpat manusia terutamanya tentang Nabi Muhammad SAW. Inilah pendapat Abu Soleh daripada Ibn Abbas, al-Suddi dan Ibn Asa'ib.
Muqatil mengatakan surah ini diturunkan tentang al-Walid Ibn Mughirah yang selalu mengumpat Nabi Muhammad SAW ketika baginda tidak hadir dan mencelanya secara terang-terangan di hadapan baginda. Ini juga pendapat Ibn Juraij.
Muhammad Ibn Ishaq, penulis kitab Sirah berkata: "Kami selalu mendengar surah ini diturunkan berkenaan Umayyah Ibn Khalaf."
Ibn al-Jauzi menukilkan beberapa pendapat lain:
i. Ia diturunkan kepada al-'As bin Wa'il al-Sahmi. Inilah pendapat Urwah.
ii. Ia diturunkan kepada Jamil bin Amir. Inilah pendapat Ibn Abi Nujaih.
iii. Ia diturunkan kepada Ubay bin Khalaf. Inilah pendapat al-Mawardi.
iv. Pendapat yang kedua bagi Mujahid: Ia diturunkan kepada umum tanpa tertentu kepada seseorang.
Firman Allah SWT: Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.
Berkenaan perkataan humazah dan lumazah, adakah sama atau berlainan? Ada dua pendapat:
i. Bersamaan.
ii. Berlainan. Bagi yang berpendapat berlainan, ia menafsirkan seperti berikut:
- Humazah adalah mereka yang mencela dan lumazah adalah yang mengaibkan. Inilah pendapat Ibn Abbas.
- Humazah adalah mereka yang mencela manusia di hadapannya, sedangkan lumazah pula ialah mencela manusia di belakangnya. Inilah pendapat al-Hasan, Ata' dan Abu al-'Aliah.
- Humazah adalah mereka yang memaki manusia, manakala lumazah pula mereka yang memaki keturunan manusia. Inilah pendapat Mujahid.
- Humazah adalah mereka yang mengejek dengan mata, sedangkan lumazah pula mengejek dengan lidah. Inilah pendapat Qatadah.
- Humazah adalah mereka yang mengejek manusia dengan tangan dan memukulnya, sedangkan lumazah ialah mereka yang mengejek dengan lidahnya. Inilah pendapat Ibn Zaid.
- Humazah adalah yang mengejek dengan lidahnya, sedangkan lumazah pula adalah mengejek dengan matanya. Inilah pendapat Sufyan al-Thauri.
- Humazah adalah mereka yang menghina dan mengata orang, sedangkan lumazah adalah menghina secara berhadapan. Inilah pendapat Muqatil.
Al-Maraghi berkata: "Kemurkaan dan seksaan Allah SWT kepada golongan yang mencerca manusia yang melanggar kehormatan mereka dan yang menyakitkan hati mereka sama ada ketika hadir atau tidak."
Kemudian Allah SWT menyebutkan sebab Dia mencerca manusia menerusi firman-Nya.
Firman Allah SWT: Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung.
Maksud himpunan di sini ada dua pendapat iaitu mengira bilangan dan menghitungnya yang merupakan pendapat al-Suddi. Yang kedua mengiranya bagi mencukupkan beberapa tahun. Ini pendapat Ikrimah.
Al-Maraghi berkata: "Perkara yang mendorong mereka menjatuh dan menghinakan martabat manusia disebabkan pengumpulan mereka akan harta dan selalu menghitungnya kerana sukakannya dan berasa seronok menghitungnya."
Pada pandangan mereka bahawa tidak ada kehormatan dan kemuliaan selain daripada itu sehingga setiap kali mereka melihat apa yang ada padanya, mereka mendakwa sebab yang demikian itulah mereka memperoleh kedudukan yang tinggi.
Mereka menghina orang yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berada di bawahnya, dan tidak berasa takut jika mereka ditimpa bencana akibat umpatan dan cercaannya terhadap kehormatan manusia.
Ia lantaran perkara yang menipunya itu telah melupakannya akan kematian dan membutakan pula mata hatinya untuk memikirkan kesudahan perbuatannya dan merenungkan keadaan diri mereka. Kemudian Allah SWT menjelaskan dakwaan mereka yang salah ini menerusi firman-Nya.
Firman Allah SWT: Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya.
Al-Maraghi berkata: Pengumpat ini mendakwa harta yang ada pada dirinya akan dapat menjaminnya kekal di dunia dan memberi keselamatan daripada kematian. Sehingga dia beramal seperti beramalnya orang yang menyangka hidup kekal buat selama-lamanya dan tidak akan kembali kepada kehidupan lain yang di sana nanti akan menerima seksaan terhadap perbuatan buruk mereka.
Setelah Allah SWT mengancam orang yang bersifat seperti ini dengan ancaman seksaan yang keras dan menyatakan sebab yang mendorong orang itu melakukan tindak tanduk yang dibenci iaitu dakwaan mereka bahawa harta itu dapat menjamin keselamatan mereka daripada kematian, Dia mengakhirkan dengan menjelaskan seksaan yang telah disediakan untuk mereka.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.
Hamka berkata: Pekerjaan mengumpulkan harta benda yang disangkanya itu akan dapat memelihara dirinya dari sakit, tua, mati atau pun azab seksa neraka tidaklah benar, bahkan ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah.
Ini kerana dia bukan seorang yang boleh dihargai. Dia mengumpulkan dan menghitung harta, namun dia mencela dan menghina dan memburukkan orang lain, mengumpat dan mengeji. Balasan kepadanya neraka dan nama lain baginya Hutamah.
Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. Yang (membakar) sampai ke hati.
Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Satu gambaran yang mengerikan bagaimana api itu membakar hati yang menjadi sumber melahirkan umpat keji, persendaan, sombong dan takbur. Untuk menyempurnakan gambaran keazaban manusia yang terbuang itu, api neraka ditutupkan ke atasnya.
Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, diikat dan ditambat pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka.
Al-Mawardi menyebut lima pendapat:
i. Iaitu dihukum dengan diikat pada kayu yang memanjang. Inilah pendapat Ibn Mas'ud.
ii. Diazab padanya dengan palang kayu yang tajam sebagaimana pendapat Qatadah.
iii. Tiang yang memanjang yang dibelenggu pada leher mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas.
iv. Ia adalah rantai pada kaki mereka sebagaimana pendapat Abu Soleh.
v. Maknanya tempoh masa yang panjang. Inilah pendapat Abu Fatimah.
Al-Maraghi berkata: Api itu ditutupkan kepada mereka sehingga tidak dapat keluar dan tidak mampu untuk keluar.
Setiap kali mereka ingin keluar mereka dikembalikan semula ke dalamnya (api neraka).
Tidak ada pintu yang dibukakan kepada mereka, tidak pula dimasukkan roh kepada mereka. Ini menggambarkan betapa kuatnya penutupan api itu kepada mereka, di samping menambahkan kehangatan api itu sehingga hati mereka putus asa untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut.
Kita wajib beriman kepada perkara itu dan tidak perlu mengkaji tentang tiang-tiang itu adakah ia dibuat daripada api atau besi.
No comments:
Post a Comment